Friday, November 15, 2013

TEGURAN BIAR BERHEMAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga pada hari Jumaat yang mulia ini kita dikurniakan kesihatan yang baik dan hati dan lapang agar semua aktiviti yang dilakukan berjalan dengan lancar.
Teguran. Satu perkataan yang boleh menggambarkan identiti dan peribadi kita. Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah pasti tidak sempurna. Oleh itu, Allah menciptakan manusia lain untuk saling melengkapi dan saling tolong-menolong dalam setiap perkara.



Saling lengkap-melengkapi.

Ya, manusia tidak sempurna. Kita perlukan teguran untuk memperbaiki peribadi kita. Tetapi, teguran yang disampaikan perlulah secara berhemah. Islam membawa pendekatan yang cukup baik dalam kehidupan seharian kita.

Untuk menegur, kita hendaklah tidak menyakiti hati manusia yang ingin kita tegur. Teguran yang berkesan adalah secara lembut dan teguran yang membina untuk insan yang ditegur itu supaya mereka tidak berasa diperlekehkan. Sebaiknya, insan yang ingin menegur kesalahan ataupun khilaf insan lain perlulah mengambil pendekatan melalui sebaik-baik cara yang dibenarkan.

Pada pandangan saya, untuk memberi teguran, seseorang itu tidak perlulah memberi teguran secara berhadapan dengan orang yang perlu ditegur di hadapan khalayak ramai. Ini pasti membuatkan insan itu akan berasa malu dengan teguran yang diberikan. Selain itu, kita juga dapat mengelakkan diri insan yang ditegur itu daripada aib. Kerana mungkin teguran yang diberikan itu akan membuka aibnya.

Dalam memberi teguran, tidak perlu kita menghebohkan bahawa "Saya dah tegur si polan tu, tetapi dia tidak mengambil endah. Tengok apa yang sudah terjadi kepadanya". Tidak perlu menghebohkan. Cukuplah sekadar kita memberi teguran kepada individu berkenaan dan hanya kita dan dia sahaja yang tahu. Cukuplah Allah sebagai saksi. Itu sudah memadai.

Manusia itu tidak sempurna. Ingatlah, mengaibkan manusia lain itu dosanya tidak dapat diampuni sehinggalah manusia yang diaibkan itu memaafkannya dengan hati yang ikhlas.

Teguran sebegini rupa perlulah dielakkan.
Tegurlah secara berhemah agar tidak menyinggung hati insan yang ingin ditegur.